Friday, 27 April 2012

ღ Amalan Hari Krismas ღ

Amalan Hari Krismas



            Hari Krismas disambut sebagai perayaan utama dan cuti umum di kebanyakan negara di dunia, termasuk yang majoriti penduduknya bukan penganut Kristian. Krismas disambut di negara bukan Kristian kerana diperkenalkan oleh bekas penjajah, diduduki oleh kelompok minoriti Kristian atau menerima pengaruh budaya asing.
            Walaupun kebanyakan negara menyambut Krismas pada 25 Disember setiap tahun, namun sesetengah gereja di Rusia, Georgia, Mesir, Armenia, Ukraine dan Serbia menyambutnya pada 7 Januari kerana mengikut kalendar Julius yang tarikh 25 Disembernya jatuh pada 7 Januari dalam kalendar Gregory.

            Di seluruh dunia, sambutan Krismas dirai dalam pelbagai bentuk, dicerminkan oleh kepelbagaian budaya dan tradisi sesebuah negara. Negara-negara yang hangat menyambut Krismas walaupun bilangan penduduk Kristian yang kecil seperti Jepun, telah menerima kebanyakan aspek-aspek sekular dalam sambutan Krismas seperti bertukar hadiah, hiasan lampu dan pokok Krismas.

Tradisi Gereja
            Sambutan Hari Krismas sangat penting bagi gereja, iaitu sewaktu untuk mengadakan upacara atau majlis sambutan istimewa. Berikut ialah cara-cara Krismas disambut di gereja.


Paparan kelahiran Jesus Christ
            Kebanyakan gereja mengamalkan adat memaparkan babak kelahiran Jesus. Dimulai oleh St. Francis dari Asissi pada abad ke-13, tradisi yang berasal dari Itali ini diperluaskan ke banyak negara lain.
Babak kelahiran ini dipaparkan dalam bentuk patung sebesar saiz manusia, ataupun sekecil kotak mancis, diperbuat dari pelbagai bahan termasuk kayu, tembikar, kertas, kain, jerami, dan logam yang berwarna-warni.


Lingkaran Kedatangan

             Lingkaran Kedatangan (Advent wreath) ialah selingkaran daun-daun pain, ivy dan holi, dengan lima batang lilin di dalamnya yang digantung di dalam gereja. Lilin-lilin ini dinyalakan pada setiap Ahad pada musim Kedatangan, dan lilin di tengah dinyalakan pada pagi Hari Krismas. Gereja selalu dihiasi dengan dahan dan daun hijau, di samping juga dimasukkan pohon Krismas.


Pembacaan kitab
             Pada hari Krismas, diadakan sesi pembacaan kitab yang menceritakan kisah kelahiran Jesus yang terkandung di dalam kitab Bible, di samping bacaan-bacaan suci lain yang mengisahkan tentang bahaya kerakusan hawa nafsu manusia, dan mengenai datangnya Penyelamat (Messiah) yang telah dijanjikan oleh Tuhan kepada bangsa manusia.

No comments:

Post a Comment